Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Jam di dinding tepat jam 5 petang. Hari ini 23 Ogos 2007 bersamaan hari Rabu sebelum Khamis dan Jumaat. Sedang leka aku mengemas kertas-kertas selepas berbengkel tadi, aku terbaca bait-bait kata pujangga yang ditinggalkan oleh dakwat printer pada kertas bersaiz A4 yang bakal aku buang. Terasa sayang pulak untuk dibuang. Tetapi kalau tidak dibuang meja aku akan bersepah dengan kertas. Jadi aku ambil keputusan untuk memindahkannya dalam bentuk aksara maya di gerbang ini.
Mungkin apa yang diperturun berguna buat saya, dan anda yang sedang membaca. Elok juga kita " Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak ". Anggaplah diri kita ini sebagai insan baharu, kerana " Kita bermula sebagai seorang yang baru". " Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi hari esok". Tetapi pada waktu yang sama " Yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang". "Jati diri seseorang itu kadangkala tidak terletak pada pujian semata-mata, kadangkala kejian juga". " Banyak perkara yang kita ingini, tidak semua yang akan kita dapat".
Pilihlah jalan hidup yang betul dan aturkanlah ia dengan sesempurna yang boleh, kerana " Sesuatu yang benar itu apabila dikehendaki batil, maka batillah jadinya", bak kata orang " Andai air usaha itu bisa kita teguk, teguklah sehingga ia kering dan basahan tawakal bakal mendingin di ruang tekak". Tapi, sayang seribu kali sayang,"kadang-kadang sesuatu yang berharga itu kita sedari setelah ia meninggalkan kita, dan kala itu kita hanya pasrah". " Andai kau pernah menghirup madu, melihat damai dan merasa senang, ingatlah suatu masa nanti mungkin semua itu akan sirna"; dan ingatlah " Untuk mencicip kemanisan, perlu bermula dengan mengupas kepahitan". Apa jua yang kita lakukan, perkara ini amat penting. " Tiada yang paling bernilai pada sesebuah kejayaan itu selain sebuku usaha". " Kalau dulu tidak pernah terdetik di hati akan suatu rasa itu, tentu kini kita tidak berusaha mencapainya". Jadi " Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali". Wahai sang pembaca, " Kasihkan manusia, lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia. Jam dah pukul 5.15 petang. Sekejap sahaja masa berlalu. Inilah kata-kata tanpa bunyi yang boleh aku hadiahkan buat pembaca. " Seorang yang tidak bersifat penyayang, tak akan dapat menghasilkan karya yang terbaik."
No comments:
Post a Comment