Friday, October 28, 2011

Firasat


Berbintang sagitarius
berunsur air yang deras
berangka 7
violet warna diri
hebat
pengaruh yang luas
aura positif cengkam kuat disanubari
firasat yang tinggi
terlintas difikiran
pasti terjadi
tergerak hati
pasti menjadi
ramai yang tidak endahkan apa yang dikata
cuma melihat orang yang berkata
biarlah
biarkan saja
biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya
aku masih seperti dulu
sama
tidak berubah

Ikut rasa binasa
ikut hati mati
ikut akal berbekal
ikut iman damai



Awan, Langit, Petir dan Guruh


Pada awalnya ceria
damai
aman
begitu indah

Langit tidak selalu cerah
awan mendung datang
marah
bergaduh
bertengkar
semua orang di bumi lata mendengarnya
bertekak
tidak lagi damai
tidak lagi aman
tidak lagi indah

Awan kalah
dia menangis
petir bertempik
guruh memukul
awan terus menangis

aku sendiri di sini
melihat awan itu menangis
bingit telinga
mendengar petir bertempik
dan guruh memukul

aku cuma tersenyum
mentafsir semantik alam
simbolik hidup
di bumi lata

alhamdulillah
aku masih di sini
melihat awan
langit
dan pelangi

syukur kupanjatkan
aku masih lagi bebas
ke sana dan ke sini
tanpa diikat tali di kaki hati
tidak seperti orang lain
dirantai
untuk kebahagian yang bukan miliknya

Kulihat lagi
awan
langit
yang kadangkala bertengkar lalu menangis
menangis untuk diri sendiri tidak mengapa
tetapi menangis hingga bah
di bumi lata

kasihan mereka
gementar
takut
dihanyut bah

Pabila awan tidak menangis lagi
dan sang suria berjaya memujuk
jangan duduk terponggok
bangkit
bangun
jangan jatuh lagi
sakit semalam jangan diulang
jika diulang
ntah!
orang kata
bodoh!

Jendela masih setia bahunya disentuh siku sendiri
sambil menungkat dagu
dan mata masih merenung
awan
langit
petir
guruh

Syukur aku tidak dipukul guruh
aku tidak diletir petir
sebab itu aku tidak menangis
tersenyum



Wednesday, October 26, 2011

Hati

Hati ini
tenang
kadangkala gelisah
resah
pujuklah hati
pasti harmoni
hati-hati
bukalah hati
minda
perasaan
pasti jaya disentuh
menikmati kenikmatan
hatiku bukan pualam
hatiku benar
menghirup kesegaran
positif
rasional
aura terserlah
percaya atau tidak
hanya DIA yang tahu
hati
berhati-hati
mudah dieja
cuma empat aksara
membawa mandat
berat dipundak
H
A
T
I
HATI

Hati itu raja
jika molek rajanya
molek juga rakyatnya

Hati itu customers service
baik budi
manis muka
indah budi bicara
mulia akhlaknya

Hati itu ada dalam diri
diri umpama Shopping Complex
berlumba-lumba meletakkan yang terbaik
dan yang terbaik pasti jadi pilihan
dan akhirnya dimiliki

Hati
Jagalah hati
walau hanya
empat aksara
begitu besar peranannya
H
A
T
I
HATI

Tuesday, October 25, 2011

Gurindam 12

Jika hendak mengenal orang berbangsa,

Lihat kepada budi dan bahasa.


Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,

Sangat memelihara yang sia-sia.


Jika hendak mengenal orang berilmu,

Bertanya dan belajar tiada jemu.


Jika hendak mengenal orang berakal,

Di dalam dunia mengambil bekal.


Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,

Lihat ketika bercampur dengan orang ramai.

Mengemis


Mengemis
Pengemis
Peminta
Penerima
Adakah kita juga mengemis?
Pengemis?
Peminta?
Penerima?

Kurangkah kasih sayang sehingga kita
mengemis
meminta
mohon simpati?

Nikmatilah kasih sayang yang kita punyai
Yang ada di depan mata

Foto : `Azimin Daud
Karya `Azimin Daud


Mandi Air Panas

Air panas oh air panas
Panas tetapi sedap
hangat kemudian dingin
santai berehat kepenatan
bersama rakan
jadi kenangan
jadi memori
jadi memoir
menikmati
kemudian pulang
dengan parut luka di kaki
menunggang
santai
mengetip kuku
berteman kokokan ayam
ramah
mesra
bersalaman
pulang
nanti kita mandi lagi
air panas
air panas oh air panas



Yang Patah Kan Tumbuh Yang Hilang ...

Yang patah pastikan tumbuh
Yang hilang pastikan berganti

Yang tumbuh tetap kan tumbuh
Yang berganti tetap diganti

Yang baharu takkan sama yang lama
Yang berganti tak boleh diganti

Yang baharu hijau putiknya
Yang berganti belum tentu sifatnya

Yang baharu entah bila hidupnya
Yang berganti belum tentu lamanya

Yang bertunas pasti ada harapannya
Yang diganti pasti jadi temannya

Yang tumbuh entah apa khabarnya
Yang diganti entah apa ceritanya

Yang patah pastikan tumbuh
Yang hilang pastikan berganti

Syukur ALHAMDULILLAH

Memberi dan Menerima


Memberi dan menerima
memberi kepada yang sudi menerima
menerima hargai setiap pemberian
pasti beruntung menerima
pemberi murah rezekinya

Kita saudara jiran sekuku
Bagai kuku dengan daging
Bagai sedarah sepupu sepapat
kurang beri
memberi
lebih tambah
menambah

pemberi kadang kala perit
penerima selalu beruntung

pemberi pasti banyak bekal garamnya
penerima hanya menerima
penerima belajar jua menjadi pemberi
kerana pemberi tinggi mertabatnya

ALLAH PEMBERI SEGALA
KITA HAMBA PENERIMA LATA

Kacaknya Kita Dengan ILMU


Ini hakikatnya
Lantaran ILMU berdamping naluri
Mapan fikrahnya
Untuk mentadbir diri dan alam

ILMU perlu dicari
Lantaran tidak bergolek dan melayang
Mesti digali
Untuk diri sendiri


Allah Dekat Dengan Orang Berdoa

Allahu Somad, Allah lah tempat meminta. Bukan meminta kepada hambanya. Hambanya tidak berkuasa. Berdoa biar tepat, terang dan betul pada tempatnya. Bukan kerana nafsu tetapi kerana kebaikan demi kebaikan. Doa dari dalam diri bertemu khaliqnya. Berdoa biarlah jelas, agar anugerah tidaklah culas. Berdoa biarlah ikhlas, bukan minta dibalas. Berdoa biarlah telus, biar murni hati nan mulus. Senjata kita manusia lata, biar berhemah menyusun kata, menadah tangan berdoa dengan ILMU di dada.

Monday, October 24, 2011

Alam Aku Sayang Padamu

Merah melimpah di segenap pelusuk jasad, mungkin itu tanda amarah,
mungkin itu tanda semangat, alam aku sayang padamu seperti mana kau sayangkan penghuninya, aku hanya mampu melihat lalu tersenyum, terbakar lantas kembali sejuk dengan siraman air hujan.
TERIMA KASIH SEMALAM.

Tuesday, October 18, 2011

Hati Bertemu Hati

Hati nan bertemu hati dan jiwa
hanya satu rod kental
yang membakar dan terbakar
tertanam jauh ke dasar tanah hitam
berakar tunjang cengkam bersalam naluri
tak kan hilang kehangatan dalam diri
selagi gigih mencari ilmu
selagi ketagih dengan ilmu
selagi rindu padanya
hati pasti menuntun hati
hati pasti memimpin tangan hati
hati pasti berhati-hati berkongsi hati

Sunday, October 16, 2011

Sebuah persahabat itu tidak terjelma dengan sendiri, tetapi ia bermula daripada keselesaan seorang atau seribu kawan. Bertitik tolak daripada kawan terkukuh hubungan menjadi teman. Keselesaan dan kefahaman menjadi kunci persahabatan. Itulah titi kebahagian dalam persahabatan.


Foto : `Azimin Daud
Karya Azimin Daud

Maafkan saya wahai tugasan, badan dan mata sudah merayu-rayu untuk berehat. Jari-jemari juga begitu. Izinkan saya melelapkan mata untuk beberapa ketika merehatkan minda, agar ia boleh bekerja semula nanti.



Foto : `Azimin Daud
Karya `Azimin Daud

Puisi Visual : Aku Diserang Penyakit M

Tinggal sedikit masa yang tersisa. Sedang sedang asyik menguruskan masa yang masih berbaki ini, tiba-tiba minda yang begitu bising dengan buah fikir terhenti tanpa berjaya menghasilkan buahnya. Ruang menjadi sempit.

Dapatku rasakan kusedang berhadapan dengan satu gerombolan musuh memerangi perisai rajin dan pedang yang kupegang terlucut
dari tangan. Aku jadi buntu, sepatah kata langsung tidak keluar untuk melunaskan janji menyiapkan semua amanah yang terpikul di pundak. Jadi bodoh dan tidak keruan apa yang harus dilakukan. Oh Tuhan, aku sedang berhadapan dengan lembaga yang selama ini bertapa dalam gua sanubari! Doakan aku agar kuat melawan peperangan ini dan bisa mengalahkan lembaga pertapaan itu!

Foto : `Azimin Daud
Karya `Azimin Daud

Saturday, October 8, 2011

Tiada Kata Secantik Bahasa

Tiada kata yang paling indah untuk dilafazkan, cuma ini sahaja yang termampu "terima kasih" kerana sudi membaca blog yang tidak seberapanya ini. Sejujurnya apa-apa yang tertulis ini ialah untuk saya dan juga kepada sang pembaca, untuk berfikir. Sesekali kita berfikir seperti ini bukankah bagus. Tak kan asyik nak enjoy jer kan. Erm...moga-moga Allah ampunkan dosa saya dan kalian.


Saya selalu bercakap kepada diri sendiri, "aku banyak sangat dosa, sehinggakan macam dah tak ada ruang pahala untuk aku, selalu salahkan takdir, bahawa Allah itu tidak adil. Astagfirullah...jauhnya saya melayan perasaan. Sehingga lupa tentang apa yang sudah dipelajari dulu. Expecially ilmu agama.

Saya masih ingat, semasa belajar dulu, ustazah ada berpesan (saya jadikan dia mak angkat),
Saya tak tahu. Orang baik kot. Orang yang tak buat dosa. Ntah, itu kot.
lafzu bil lisan iaitu lafaz dengan perkataan. Alah macam kita semua kata; kita beriman, awak beriman, saya beriman apa-apa sajalah.

Jadi IMAN ITU ADALAH KESEMUANYA. LAFAZ DENGAN PERKATAAN, MEMBENARKAN DENGAN HATI dan LAKUKAN DENGAN PERBUATAN.

Negative thinking, bersangka buruk kepada Allah, begitulah juga Allah negative thingking dan bersangka buruk terhadap saya. Allah akan tunaikan apa yang saya sangkakan. Dan akhirnya saya sendiri yang terperangkap dengan pemikiran sendiri. Waktu inilah syaitan berlumba-lumba jadikan kita sebagai ahli fikir tersohor, sehingga dipermainkan. Pada hal kita mempermainkan diri kita sendiri :-( janganlah pandang saya macam ni, malu orang lelaki menangis :-(


Saya tahu, kauorang semua yang baca blog ni tahukan Allah itu ada 99 nama dan sifat. Saya tahu. Antaranya Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Pengasihani. Jadi dah tentu Allah itu penerima taubat. Dalam masa saya menangis, teringat cerita Basisah. Basisah ni orangnya cukup alim dan warak, sehingga ada yang mengatakan dia ahli syurga. Allah nak duga tahap keiman dia. Maka di datangkanlah Allah syaitan untuk menghasutnya. Syaitan ni menyamar jadi orang yang lebih alim daripada Basisah. Basisah cemburu dengan ketekunan ibadah syaitan tu. Jadi dia pun berguru dengan syaitan tu, sebab nak jadi lebih alim daripada apa yang dia ada. Jadi pada suatu hari, syaitan ni nak mengubat seorang perempuan, dan diajaknya Basisah sekali. Dihidangkalah Basisah dengan roti dan air. Di dalam air itu dicampurnya dengan arak dan ditinggalkan perempuan itu dengan Basisah. Basisah minum air arak itu. Dia mabuk, kemudian dia merogol pulak perempuan yang sakit itu. Bila Basisah sedar, dia malu dan takut, lalu di bunuh perempuan tersebut. Syaitan cukup gembira dengan Basisah. Dan akhirnya Basisah mati dalam keadaan su ul khotimah. Neraka tempat Basisah. Bila aku teringatkan kisah ini, aku takut jadi seperti Basisah, yang akan diduga Allah dengan pelbagai bentuk dan cara.

Awak bosan ke baca blog saya ni? Awak tak nak baca lagi pun tak per. Tapi inilah luahan rasa hati saya. Maaf ya jika blog ini tidak menarik. Maaf ya semua.

Saya menangis lagi, dalam kesunyian. Sebab saya sendirian di sini. Notebook inilah temanku. Waktu air mata ini terjun dari mata, saya teringat kisah seorang pembunuh yang kejam pada zaman Khalifah Abu Bakar. Dah lupa namanya. Pembunuh ni tarlalu banyak dosa. Dia selalu kata, dia tetap akan jadi pembunuh sebab Allah dah takdirkan dia jadi pembunuh. Tapi, pada suatu hari, terdetik di hatinya untuk bertanya kepada orang yang tahu tentang perihal taubat. Pembunuh tu bertanya " aku ni dah banyak sangat buat dosa, Banyak sangat. Adakah dibuka pintu taubat buatku?" tanya kepada seorang alim. Orang alim tu kata, tak ada. Dia geram sangat dengan orang alim itu, lalu dia membunuh orang alim itu. Dia bertanya lagi kepada orang alim yang lain. Orang alim itu pun kata tak ada. Ditutup terus sampai tak ada peluang untuk dia. Pembunuh itu semakin marah, dia bunuh juga orang itu, sampailah dia membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya kepada orang alim yang terakhir ni. Adalah peluang untuk aku bertaubat? Dibukakah pintu taubat itu untukku? Kata orang alim tu, "walau setinggi gunung pun dosa kamu, pintu taubat tetap terbuka, sekiranya engkau mahu bertaubat. Pembunuh itu malu pada dirinya sendiri. Sebab selama ini, dia kata dia tak kan berubah, itu lah dia yg ditakdirkan. Dia sedih mendengar jawapan tadi. Larilah dia jauh-jauh. Jauh sekali untuk bertaubat. Untuk mencari orang yang boleh mengajarnya bertaubat. Sampai satu tempat pembunuh tu mati. Tak sempatpun dia bertaubat. Macam saya ke? Sempat ke saya bertaubat?!


Saya lemah.
Saya tak kuat.
Takdir yang menyebabkan saya jadi begini.
Saya tak nak fikir lagi.
Saya ok jer.
Saya biasa dah dengan keadaan hidup saya yang macam ini.
Rupa-rupanya Allah memang tak kan interrupt pilihan kita, sebab Allah itu `Alimun iaitu Maha Mengetahui dan Maha Berilmu. Bila lahirnya saya ke dunia ini, Allah sudah tahu apa cerita pengakhiran saya. Dan Allah mengetahui apa yang saya lalui. Sebab itu Allah tidak mencampuri urusan apa yang ingin kita pilih.


Saya sudah mula boleh membuka mata hati yang dah tertutup lama, walaupun saya solat. Rupa-rupanya ILMU itu amat penting. Kerana tidak berilmulah saya selalu ikut kata hati, walaupun ada orang yang nak tolong saya.
Saya tahu ada orang sayang saya, dan ingin nak menolong saya. Tapi kalau saya tak hargai apa yang diberikan kepada saya, maknanya saya tolak sesuatu yang amat berharga. Saya kena BERILMU. Maknanya saya kena ingatkan ALLAH. Saya ingat lagi kata Ustazah (emak angkat aku) dia kata

"Tanpa Ilmu kita akan keluh kesah".

Dia kata lagi, kita kena sering ingatkan Allah.

Sebab SESUNGGUHNYA DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI KITA AKAN MENJADI TENANG.

Saya rasa tentang perkara ini saya lemah.
Saya kena belajar lagi untuk menguasainya.
Aku akan mengampunkan Umat Muhammad mengikut had masa yang aku tentukan, walaupun nyawanya sampai ke tenggorok tekak, aku tetap mengampunkannya, kecuali hilang nyawanya.
Sebab itu Allah beri kita peluang untuk memilih. Tidak seperti umat lain, hari ini buat dosa, hari ini juga dapat balasan. Ya Allah Maha Pengasih dan Pemurahnya engkau. Saya sahaja yang tak pernah terfikir tentang Maha Pengasihnya dan Pemurahnya Engkau Ya Allah. Aku buta. Aku suka pada dunia yang aku cipta sendiri. :-(


Berkehendaknya Allah syurga buat kita, sehinggakan Allah bertanya kepada Malaikat. Pernahkah orang ini jadi orang yang mengajar? ( kalau tak boleh ? ) Allah tanya lagi " Pernahkah orang ini jadi orang yang belajar ? ( kalau tak juga ? ) Penahkah engkau menjadi orang yang mendengar? .......... Jangalah engkau menjadi orang yang bencikan Ilmu. ILMU itu pentingkan awak. Awaklah yang sedang membaca blog saya ni. Jadi maknanya kita ni mesti sama-sama cari ilmu.


Diakhirat nanti, Allah tetap berkehendakkan syurga buat kita semua, sehigga Allah berdialog dengan Malaikat. Malaikat, tanyakan kepada si polan, pernah kah dia, berkawan dengan orang yang alim? Tak pernah wahai ALLAH. Pernahkah si polan itu, berjalan dengan orang alim? Tak pernah wahai ALLAH. Pernahkah si polan itu makan dengan orang alim? Tak pernah wahai ALLAH. Beginilah malaikat, adakah si polan itu namanya sama seperti orang yang alim? .....Ya Allah Maha Pengasihnya Allah kepada saya. Allah sayangkan kita semua :-( saya tak pernah tahu kasih sayang Allah ini. Sampai ke situ sekali Allah sayangkan kita. Cuma satu saja. Allah tak akan ampunkan dosa kita kerana syirik kepada-Nya dan dosa kita sesama manusia. SEbab itu orang yang kaya dengan kasih sayang, dugaanya banyak. Bagi aku orang yang kaya dengan kasih sayang ni, dia ambil sifat Allah yang Maha Pengasih. Bersyukurlah sebab kita masih ada orang yang sayangkan kita.

Syirik itu terbahagi kepada dua kan? Setahu aku Syirik Jali dan Syirik Khafi. Tentang syirik ni Rasulullah amat bimbang akan umatnya. Sebab umat akhir zaman, pagi dia adalah Islam dan petang dia akan kafir. Sebab itu kitya kena Solat, sebab dalam solat kita akan bersyahadah, memperbaharui syahadat kita untuk tidak jadi kafir. Iman umat akhir zaman itu ibarat seperti semut hitam yang berjalan dalam malam pekat di atas kayu hitam.Haaaahh...banyak ilmu yang saya tak tahu rupanya. Sebab itu saya selalu kalah dengan nafsu aku dan persaan saya sendiri.Saya mesti mencari kawan dan sahabat yang boleh memimpin saya ke arah itu. Tak kan saya nak pilih kawan yang merosakkan. Walaupun saya suka dan sayang padanya. Saya kena kuat. Walaupun saya tahu siapa saya. Hanya saya sahaja yang tahu apa yang patut saya buat. Hanya saya saja yang boleh mengubah hidup.Kepada kawan-kawan yang membaca blog ini, janganlah putus sahabat. Bantulah saya. Saya insan lemah.AKU TETAP SAHABAT KAUORANG SEMUA.Nanti kita bertukar-tukar pandangan dan fikiran lagi ya. Maafkan saya semua. Saya macam kalian juga. Insan yang lemah.

Mimpi Bertemu Nabi

Assalamualaikum. Awak sihat? Awak yang membaca blog saya ni lah. Sihat ? Moga sihat hendaknya. Ceria tak? Mestilah ceria. Tak per nikmatilah hidup sebelum sibuk dengan tugas nanti.

Oh ya, tentang Mimpi bertemu Nabi. Tidak semua orang mengalami mimpi ini. Hanya orang yang dipilih Allah ; kerana ada hikmah disebaliknya. Setahu saya, mimpi bertemu nabi ini terbahagi kepada 3.

Pertama : Rukyah Malaikah ( Pertunjuk )

Mimpi bertemu nabi pada kategori ini, amat beruntung. Kerana anda yang Allah pilih. Pilihan Allah sudah semestinya tepat. Untuk menjadikan anda lebih baik daripada sebelumnya, dan insan yang diredhai Allah. Biasanya, selepas mimpi bertemu nabi, sesorang itu akan mengalami perubahan dalam dirinya secara sedar dan insaf. Bergantung kepada tahap keimanan seseorang. Ada juga mimpi bertemu nabi ke atas mereka yang bergelumang dengan dosa, kerana Allah inginkan yang terpilih itu berubah. Maksudnya ingin menambah kekuatan imannya. Selepas daripada kita tidak boleh ingat rupa paras baginda.

Kedua : Rukyah Syaitan ( Gangguan dan usikan Syaitan )

Kategori yang kedua ini, adalah permainan Syaitan. Biasanya permainan Syaitan ini tidak memilih manusia. Dia akan masuk ke dalam semua jiwa manusia untuk menyesatkan keimanan mereka. Selepas mimpi ini, kita akan teringat-ingat, dan ini adalah cara Syaitan untuk menimbulkan perasaan riak, takbur, bangga dan hebat lebih daripada orang lain.

Ketiga : Rukyah Nafsi ( Permainan Tidur Pengaruh Persekitaran )

Mimpi kategori ini adalah berpunca daripada peristiwa yang dialami oleh pemimpi. Contohnya seperti dia mendengar kisah-kisah nabi, atau cerita orang lain bermimpi bertemu nabi, sehinggakan cerita itu terbawa-bawa ke tempat tidur. Situasi ini, dinama mimpi rukyah Nafsi, iaitu mimpi akibat persekitaran.

Wallahu'alam Bissawab.
Yang Baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada saya sendiri.

Konsep Sedekah al-Fatihah

Ramai yang keliru tentang konsep sedekah al-Fatihah. Jika nak diperdebatkan tentang boleh atau tidak, rasanya sesuai diperdebatkan dengan mereka yang mahir dan pakar. Tapi ini bukan ruangnya.

Saya ingin berkongsi apa yang tahu tentang konsep ini. Sebenarnya tentang sedekah al-Fatihah ini ada dua khilaf. Pertama khilaf golongan awal ( salaf al-Soleh ) terutama sekali daripada mazhab Shafie. Dan yang kedua khilaf golongan akhir ( khalaf ).

Tahu tak khilaf itu apa? Khilaf itu pendapat, kalau salaf ialah golongan yang berpegang kepada pendapat para sahabat nabi. Kalau khalaf pula golongan yang lebih mengunakan logik akal. Ok dah fahamkan istilah tu kan. Jangan risau, insya-Allah ada kebaikan selepas membacanya.

Ok tentang pendapat pertama, golongan awal iaitu salaf al-Soleh. Mereka mengatakan sedekah al-Fatihah ini hanya untuk mereka yang hidup sahaja, bukannya untuk orang yang sudah mati. Mereka berpegang teguh kepada firman Allah, iaitu :

" Wa in naka la tusmi`u al-mauta"

yang bermaksud ;

"Sesungguhnya kamu tidak dapat mendengarkan kepada orang yang mati".

Mereka menerangkan bahawa hanya orang yang hidup sahaja boleh memperoleh pahala dengan berusaha dan berbuat amal yang baik. Cuba tengok tafsir al-Qur`an surah an-Najm ayat 38-39, maksudnya " Bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya". Jadi, maknanya bila dicabut nyawa kita, maka pahala itu tidak dapat lagi kecuali pahala haji yg dibuatkan oleh warisnya, puasa yang digantikan oleh waris, amal jariah, doa anak yang soleh dan ilmu yang dimanfaatkan.

Tentang pandangan kedua, golongan khalaf mengatakan boleh bersedekah al-Fatihah kepada yang mati dan yang hidup. Untuk yang mati, mereka berpegang kepada kias solat jenazah. Maknanya pahala al-Fatihah itu sampai jika betul salurannya dan tidak akan terima jika salah caranya. Tetapi pendapat kedua ini hanya merujuk kepada kias sahaja tanpa ada sumber yg utuh, iaitu sekadar analogi sahaja.

Kesimpulannya, al-Fatihah elok kita sedekahkan kepada orang yang hidup, sebab mereka masih boleh mencari pahala dengan melakukan amal ibadah. Tentang kepada siapa kita sedekahkan al-Fatihah itu tiada masalah. Kita boleh beri kepada sesiapa sahaja, dengan syarat IKHLAS. Kita boleh sedekahkan kepada ibubapa kita, sahabat kita, kekasih kita, dan kepada sesiapa sahaja. Jadi tak perlu pelik. Dan jangan bersalah sangka. Yang baik itu tetap dapat pahala. Dan yang sebaliknya tetap akan dibalas.

Wallahu `alam bissawab

Bagaimana? Dah boleh faham? Boleh kot. Terima kasihlah kerana sudi baca blog ni. Maaf ya kalau terasa hati.

Jangan anggap saya ini terlalu istimewa kerana saya tidak sempurna. Seperti awak juga. Ada rasa kasih, sayang, benci, meluat, marah, gembira, ceria dan semualah. Saya memang suka menduga, diduga dan terduga. Cewah... Sebab melaluinya kita akan jadi bertambah matang.

Apa-apapun hari ini aku ceria. Ceria dengan kegirangan yang aku nikmati sekarang ni.
Terima kasih kepada sang pembaca.

Friday, October 7, 2011

Jadilah Yang Terbaik Dalam Segala

Kalau tak dapat jadi pohon Cemara di puncak bukit
jadilah belukar di bawah lembah
kalau tak dapat jadi belukar selengkar
jadilah rumput sederet
dan serikan sebatang sungai yang sempit.

Kalau tak dapat jadi ikan Temerloh
jadilah Seluang
tetapi jadilah Seluang di tasik terbentang.

Kalau tak dapat jadi jalanraya
jadilah sekerat lorong
kalau tak dapat jadi matahari
jadilah sebutir bintang
besar bukan ukuran GAGAL-JAYA
tetapi jadilah yang terbaik dalam segala.

Sahabat

Apa yang pasti, kita semua mempunyai sahabat, sehinggakan kepercayaan utuh padanya dan kadangkala kita sanggup berkongsi segala-gala dengannya. Tetapi, adakah dia berfikiran sama seperti kita? Sanggupkah dia mendengar masalah kita? Itulah pentingnya kita mempunyai seorang sahabat. Menjaga hati seorang sahabat, diperintah, menyakiti hati seorang sahabat dilarang sama sekali.
Oleh itu, sama-samalah kita ingatkan diri kita, agar kita tidak melupakan sahabat kita, kerana dia merupakan anugerah tuhan yang dapat memberikan kita segalanya. Apa yang lebih penting dalam persahabatan yang unggul ialah kejujuran, ketulusan dan keikhlasan? Fikirkanlah.

Kadangkala apabila kita hilang seorang teman,seperti kita hilang segalanya. Seperti kita kehilngan ahli keluarga. Tiada apa yang lebih penting daripada kepercayaan seorang sahabat, dan bukan kawan, taulan, rakan dan teman. Sahabat akan percayakan sahabatnya tanpa ragu-ragu.Sahabat, akan korbankan jiwanya kerana sahabatnya dan inilah anugerah yang dikurniakan buat kita semua, memberi dan menerima dengan cara berkongsi. Kehilangan seorang sahabat juga adalah lebih sengsara jika dibandingkan dengan cinta. Jika dibandingkan persahabatan memerlukan kasih sayang. Dan memang kita perlukan kasih sayang bukan cinta. Jika kita ada kasih dan sayang segalanya adalah mungkin. Oleh sebab itu nabi memanggil mereka dengan gelaran SAHABAT bukannya rakan, teman, taulan, atau kawan. Rasulullah s.a.w juga telah mengariskan beberapa ciri sifat SAHABAT antaranya :

12 sifat sahabat

1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu

3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik

5. Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu(membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu)

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan

Jadi, kepada mereka yang bergelar SAHABAT, renungi diri, selamilah jiwa dan bermuhasabahlah, layakkah kita bergelar SAHABAT.

Sunyi dan Sepi Itu...


jatuhnya tanpa sebarang bunyi
dilempar batu itu di lubang perigi
jatuhnya jua tanpa sebarang bunyi
cuma sunyi dan sepi

sunyi dan sepi itu hikmah
sunyi dan sepi itu bicara hatiku
sunyi dan sepi itu resah jiwaku
sunyi dan sepi itu kesah nan berkesan

baruku tahu erti sunyi dan sepi
mereka nan sunyi dan sepi itu
pasti mampu menyelami ke dasar hatiku
pasti mampu menyelusuri jiwaku
pasti mampu bersama-sama kesahku

waktu sunyi dan sepi itu
meniupkan ilmu rahsia buana
tentang liburnya seorang teman yang mungkin lupa taulannya

waktu sunyi dan sepi itu
melayangkan satu warkah berguna
tentang telatah bergelar manusia
sahabat atau teman
yang kononnya bertemu kerana Allah
berkasih jua kerana Allah
berpisah kerana Allah

Senang lafaz itu diucapkan
mudah diliuk dan dilentukkan lidah
menyebut kata keramat kerana Allah
tapi bisakah ditunaikan kerana Allah?

Sukar untukku bergelar sahabat di sisimu
atau mungkin kutidak layak berada disampingmu
usaha telahku buatkan sebagai jambatan
penghubung jalin mesra
doa telahku panjatkan sebagai hamparan
kukuh ukhwah kita
al-Fatihah kuhadiahkan sebagai hantaran
persahabatan bahagia
tapi sekarang ini ia sunyi dan sepi

sunyi dan sepi itu
cukup menjadi guruku buat bekalan esok, lusa, tulat dan langkat

Alhamdulillah
sunyi dan sepi itu bermakna rupanya
buatku menerima ajaran hidup di bumi ini
bergelar manusia
yang mempunyai sahabat
buat teman bicara resah
buat taulan bicara gelisah
buat teman bicara gundah

terima kasih sunyi dan sepi itu

Puisi Adaptasi Zalzalah

Dalam surah al-Zalzalah Allah berfirman :

"Faman ya`mal mithqa lazaratin khairan yaroh, wa mai ya`mal mithqa lazarotin syar roi yaroh

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan, 
walaupun sebesar zarah, 
dia akan mendapat balasannya
Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan, 
walaupun sebesar zarah, 
dia tetap akan menerima balasan 
Sekiranya benar apa yang ketahui itu benar, 
sama-sama kita minta hak kita kepada Allah.


Ambillah masa untuk membaca
membaca itu sumber pengetahuan.

Ambillah masa untuk berfikir
Fikiran itu sumber penguasaan.

Ambillah masa untuk solat
Inilah kuasa yang paling berkesan.

Ambillah masa untuk tertawa
Tertawa itu penawar untuk jiwa.

Ambillah masa untuk bersahabat
Inilah jalan menuju kebahagiaan.

Ambillah masa untuk berkasih sayang
Inilah anugerah ALLAH ke atas hambanya.

Dariku Untukmu Sahabat

Kata-kata ini aku ambil daripada seorang kawan dan cukup terkesan pabila membacanya. Aku? Siapa aku? Aku mula melihat siapakah aku? Adakah aku kawan, sahabat, teman, taulan atau rakan.

Kepada sang pembaca, sudi-sudikanlah memberi sebarang reaksi untuk kita mencari diri.

kawan...
nak sebut memang mudah
tapi hakikatnya
nak cari kawan sejati punya la payah..

kawan..
bila tak ada kita cari
tapi bila dia di depan mata kita tak hargai.

bila kawan berjanji kita nak dia tepati..
terlewat seminit muncung kita panjang sedepa
alasan kawan langsung tak nak dengar
tapi kalo kita yang tak tepati
manisnya bibir menuturkan maaf..

bila kita ada masalah kawan setia di sisi..
bukan setakat nasihat malah wang ringgit pun sanggup bagi
waktu tu kita rasa dia la sahabat sehidup semati..
tapi bila kawan dihimpit masalah
kita biarkan dia menangis sendiri
jangankan mendekati, bertanya khabar jauh sekali

bila kita perlukan pertolongan kawan disisi sedia membantu
berat sama dipikul ringan sama dijinjing
tak pernah sekali pun dia merungut
tapi bila kawan meminta sedikit kudrat kita
tak habis-habis cerita kita jual
kononnya kawan menyusahkan kita

kawan simpan semua rahsia kita
kalo kita buat salah, kawan rela terima hukuman
tapi bila kawan tersilap langkah
laju mulut kita menabur cerita
kononnya kawan punya angkara
tak layak berkawan dengan kita
walaupun hakikatnya kita turut sama melakukan

waktu kita susah kita cari kawan
kita mengeluh bila kita tak ada kawan
kita menangis bila kita ditakdirkan bersendirian
tapi...kita tak pernah nak hargai nilai sebuah persahabatan
kita tak tahu nak balas budi kawan
biarpun bukan itu yang diharapkan kawan

kawan selalu memberi
kawan tak minta dibalas
tapi sebagai kawan kita kena la beringat
bukan wang ringgit yang kawan dambakan
bukan kudrat tenaga yang kawan tagihkan
tapi secebis kejujuran dan secarik kasih sayang
yang dipertaruhkan


Thursday, October 6, 2011

Puisi Visual : Fikirkan

Sang belang cukup sunyi. 
Dia nampak garang dan bertenaga. 
Tetapi, tiada seorang pun tahu naluri hatinya. 
"SUNYI"
sekonyong-konyong fikiranku melayang melihat gambar yang cukup tersentuh dengan sentuhan ajaib. 

Kadangkala aku keliru
siapa kawan siapa lawan
seringnya aku lihat
aku dipinggirkan

kadangkala aku keliru
siapa aku dan siapa mereka
sering aku lihat
aku disisihkan

terkadang aku keliru
siapa dia dan siapa aku
sering aku lihat
aku didera olehnya

kadang aku keliru
siapa di sana dan siapa di sini
sering-sering aku lihat
aku dipergunakan

kekadangnya aku keliru
siapa menang dan siapa kalah
seringlah aku lihat
aku diadili

jadinya siapakah aku...???
pada sisipan hidupnya mereka
adakah sekadarnya aku ini..
sebagai alat peluah amarah dan nafsu
tanpa penjelasan yang pasti
aku ini hanyalah..
insan yang tidak pernah dimengertikan.


Lantas ku sahut puisimu dengan penuh jiwa kelana

aku pasti pada keliru
siapa sahabat dan siapa musuh
seringku lihat
mereka yang menyisih kerana diriku

adakala aku pasti
siapa mereka dan siapa aku
acap kali kulihat
mereka meminggir kerana diriku

terkadang aku terlalu yakin
siapa aku dan siapa dia
sering kuterlihat
mereka mendera diri sendiri

sekarang aku semakin yakin
dia di sana dan aku di sini
sebenarnya kita saling perlu memerlukan

aku sudah pasti
yang kalah boleh menang
yang menang boleh kalah
kitalah hakim dan jurinya

Jadi inilah dia kita
pada sisipan hidup di dunia
inilah kita seadanya
sebagai watak menerajui buana
dengan satu destinasi
pengakhiran yang misteri


Ketenangan


Kala tercari-cari nikmat ketenangan
Entah kenapa sayu dan sedih menjelma
Tenang yang kononnya tenang
Entah kenapa tidak dirasa tenang
Nun di sana tenang berdiri memerhati
Alam dan tenang berbincang sesama sendiri
Nescaya ketenangan yang dicari-cari tak kan pernah ditemu
Gelap tidak terlihat ketenangan
Angkara minda tertutup walau taufik berlari mencari diri
Namun tetap tak kan bertemu kerana hidayah diam membisu

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Cinta


Cari dicari cinta
Inilah cinta yang dicari-cari
Nistakah cinta yang terjumpa
Teluskah rasa cinta yang dijumpa
Alangkah bahagia jika cinta dicari cinta lalu bertemu cinta setulus cinta-Nya.

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Wednesday, October 5, 2011

Cerita Sang Itik


Putih bersih jasad terlihat,
tapi lumpur tetap disudu;
Patutlah hukum sudah terpahat,
akibat alpa amanah di bahu.

Lantera purba dalam perahu,
tidak terlihat kain dilitup;
Lantaran alpa amanah di bahu,
jangan dibiar merosak hidup.

Kisah sang itik jadi teladan,
Merpati jujur hidup dibela;
Kerohnya petaka jadi sempadan,
Mencari ikhlas hidup di dunia.

Pernah dikisahkan pada zaman nabi Allah Noh alaihissalam, selepas banjir besar reda, maka di suruh itik untuk melihat persekitaran sama ada selamat untuk keluar daripada bahtera nabi Allah Noh atau tidak. Maka diutuslah 2 ekor itik untuk menyiasat.

Dipendekkan cerita, oleh sebab sudah lama tidak berpijak di tanah dan bergelumang dengan air, itik terlalu leka menikmati kegembiraan sehingga lupa amanah yang dipikulnya untuk menyiasat sama ada selamat atau tidak untuk keluar daripada bahtera nabi Allah Noh. Leka, leka dan terus leka.

Kemudian nabi Allah Noh mengirimkan merpati untuk menyiasat dan mencari itik agar segera pulang. Merpati dari jauh dapat melihat telatah itik lalu memberitahu agar segera kembali ke bahtera. Selesai menyiasat merpati terus melaporkan keadaan sebenar kepada nabi Allah Noh dengan penuh tanggungjawab.

Bermula daripada detik itu itik telah dihukum; tindakannya yang leka bermain lumpur dan air yang kotor akan dijadikan amalan harian tanpa rasa jijik. Manakala, merpati pula diberi ganjaran bahawa bermula detik itu merpati akan menjadi binatang kesukaan manusia.

Sebab itu hingga ke hari ini itik akan melakukan perkara yang sama, iaitu bermain lumpur dan menyudu air yang kotor, dan merpati menjadi burung belaan yang disukai oleh manusia.

Wallahu`alam bissawab....

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Pabila Jari-jemari Mula Menari Melarik Aksara Menyusun Kata

Sudah lama jari-jemari ini tidak menari mengikut rentak hati.
Entah apa pula irama dan rentak kali ini.
Apa jua irama dan rentak... yang pasti jari-jemari ini sudah menari semula.

Ibu jari berkata : Bukankah kau pernah menari dulu?
Telunjuk menyambut : Ha ah, bukan ke kalian semua pernah menari.
Jari hantu berteriak : Hahahaaa.... dah lama aku tak berpeluh disebakan letih menari.
Jari manis : Hanya mampu tersenyum dengan begitu manis sekali.
Jari Kelingking : Hanya diam membisu.

Sebenarnya semua jari-jemari telahpun menari.
Cuma masing-masing terpinga-pinga ntah menari mengikut rentak apa.

Sang pembaca pasti anda tahu rentaknya...

Friday, July 1, 2011

Sepatu

Ini dia sepatu baharu
Dibeli oleh si ibu
Untuk si dara cilik cantik bergaya
Menyusun tapak menikmati sejuknya rumput hijau
merasai panasnya tar di kotaraya


Sepatu baharu cermat dipakai
langkah disusun begitu tertib
waktu leka bertapak
sepatu itu tersadung kemuncut di padang hijau
terkena batu jalan pabila terpijak
terpalit lumpur terpijak lecak


Kaki biarlah bijak menyusun langkah
kemuncut di padang hijau cuba dielak
batu di tar kotaraya hati-hati pabila dipijak
lecak sekali-kali jangan dipijak
jika terpijak pasti lumpur terpalit
pabila lumpur terpalit
...

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Friday, June 24, 2011

Puisi Visual : Mereka Hanya Menumpang Lalu


Cuma singgah sebentar.


Tumpang lalu ya. Saja nak rehatkan diri. Penat.


Erm... yang ini hijau juga. Tapi apa ya?


Yang warna hitam ini apa pula ya?


Maaf ya tumpang lalu saja.

Hidup ini hanya sementara
Hanya di sana yang kekal abadi
Semasa kita menumpang lalu di sini
Apa yang sudah kita buat?
Sudahkah kita mencari bekal?
Hanya kita dan DIA saja yang tahu.

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Pokok Bunga Kupu-kupu

Pokok bunga ini pemberian daripada kakak ipar. Sejujurnya saya memang mahukan pokok bunga ini, kerana keunikannya. Seawal pagi daun dan bunganya akan kembang sehingga petang. Daunnya berwarna merah hati seakan-akan unggu gelap dan bunganya berwarna putih hijau. Amat cantik. Selepas jam 6 petang bunganya akan tertutup dan daunnya akan tertutup. Apabila tertutup bentuknya seperti kupu-kupu. Subhanallah. Nikmatilah keindahan ciptaan Allah ini.






Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Thursday, June 16, 2011

Puteri Ayahanda Atiq Rayyanah `Azimin

Ini anakanda puteri ayahanda
Baik paras indah purnama
Bijak berperi senyum sentiasa
Ceria ayahanda pabila bersama


Sekecil ibu jari besar telapak
Ayahanda iqamah di kanan kelopak
Menyambut puteri moleknya dampak
Solehah hendaknya biar bertapak

Gembira ayahanda puteri membesar,
setiap gerak pantau tak sasar,
Bersujud ayahanda di atas tikar,
Biarlah berkat tapak membesar.



Lincah puteri begitu ceria,
Gembira ayahanda gelagat anakanda,
Sihatlah anakanda ayahanda pinta,
Dijauh Esa segala petaka.

Wahai anakanda dengarlah kata,
Pasti aman hidup bahagia,
Tidaklah ayahbonda dicerca-cerca,
Tak mendidik anak ayahanda.

Wahai anakanda puteri jelita,
besar nanti janganlah lupa,
Jasa ayahanda dan juga bonda.
pasti berkat hidupmu walau ke mana.

Ingatlah anakanda pesanan ayahanda,
Jadi insan berguna di hari muka,
Insyaallah berkat hidupmu bahagia.
Hormati ayahanda dan juga bonda.


Syair ini diterbitkan oleh DBP dalam majalah Tunas Cipta keluaran Disember 2012
Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud