Wednesday, October 5, 2011

Cerita Sang Itik


Putih bersih jasad terlihat,
tapi lumpur tetap disudu;
Patutlah hukum sudah terpahat,
akibat alpa amanah di bahu.

Lantera purba dalam perahu,
tidak terlihat kain dilitup;
Lantaran alpa amanah di bahu,
jangan dibiar merosak hidup.

Kisah sang itik jadi teladan,
Merpati jujur hidup dibela;
Kerohnya petaka jadi sempadan,
Mencari ikhlas hidup di dunia.

Pernah dikisahkan pada zaman nabi Allah Noh alaihissalam, selepas banjir besar reda, maka di suruh itik untuk melihat persekitaran sama ada selamat untuk keluar daripada bahtera nabi Allah Noh atau tidak. Maka diutuslah 2 ekor itik untuk menyiasat.

Dipendekkan cerita, oleh sebab sudah lama tidak berpijak di tanah dan bergelumang dengan air, itik terlalu leka menikmati kegembiraan sehingga lupa amanah yang dipikulnya untuk menyiasat sama ada selamat atau tidak untuk keluar daripada bahtera nabi Allah Noh. Leka, leka dan terus leka.

Kemudian nabi Allah Noh mengirimkan merpati untuk menyiasat dan mencari itik agar segera pulang. Merpati dari jauh dapat melihat telatah itik lalu memberitahu agar segera kembali ke bahtera. Selesai menyiasat merpati terus melaporkan keadaan sebenar kepada nabi Allah Noh dengan penuh tanggungjawab.

Bermula daripada detik itu itik telah dihukum; tindakannya yang leka bermain lumpur dan air yang kotor akan dijadikan amalan harian tanpa rasa jijik. Manakala, merpati pula diberi ganjaran bahawa bermula detik itu merpati akan menjadi binatang kesukaan manusia.

Sebab itu hingga ke hari ini itik akan melakukan perkara yang sama, iaitu bermain lumpur dan menyudu air yang kotor, dan merpati menjadi burung belaan yang disukai oleh manusia.

Wallahu`alam bissawab....

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

No comments:

Post a Comment