Sunday, December 20, 2009

Menghirup Kenikmatan Hidup Sementara

Hitam tegar sumpah kesumat,
Inang dirasuk dendaman murup;
Hiruplah segar hidupnya nikmat,
Iman diteguk ketaqwaan dihirup.

Astakona bungkah di litup,
Kotak berlima diikat dawai;
Asyiknya pesona menyantap hidup,
Kongsikan bersama sahabat handai.

Terbang pekaka di pohon redup,
Jatuh ditimpa dahan angsana;
Terlalu leka menghirup hidup,
Jangan dilupa Esa di sana.


Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Sejuk Perut Ibu Mengandung


Kecapi hulu terbang ke hulu,
Kiranya gusar dicemar malang;
Kecilku dulu ditimang ibu,
Kini besar kutempuh gelombang.


Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Saturday, December 19, 2009

Pasti Ada Bicara Rahsia


Paduka memanda asyik menyanyi,
Didengar pula puteri laksana;
Pasti ada rahsia sembunyi,
Disebalik arca melarik makna.

Senduduk diikat di batas sakar ,
Memetik peria dilanda bena;
Sambil melihat arca dilakar,
Mentafsir rahsia sebalik makna.

Jangan dinyira medu rasanya ,
Tapainya sudah diragi seia ;
Jangan dikira berapa jumlahnya,
Tapi kiralah simbolik rahsia.

Friday, December 18, 2009

Aku Bersama Memoir Memorial Itu

Pada tanggal 15 Disember 2009 aku terpilih untuk menyertai satu simposium antarabangsa yang dianjurkan oleh ISSESCO sempena penganugerahan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Islam di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Simposium Laluan Haji Rantau Asia. Aku tak mahu berbicara panjang-panjang tentang apa yang dibincangkan, tetapi satu sahaja yang ingin diberitahu. Aku bangga. Bangga sebagai rakyat Malaysia. Iyalah, sebab negara-negara Islam yang lain begitu kagum dengan pengurusan jemaah haji kita ke tanah suci. Yup, TABUNG HAJI.

Aku sempat berlegar-legar di dalam memorial tersebut. Tak mahu cakap banyak, jom kita tengok gambar-gambar yang sempat aku rakamkan untuk blog ini. Jom!


Ini ialah antara barang-barang dan gambar yang ada dalam memorial ini. Ada banyak lagi sebenarnya artifak dan barang-barang Tunku yang disemadikan di sana. Jadi, jika nak tengok dan melihatnya dengan mata sendiri, datanglah ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Tengok lagi gambar ini ya.



Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, 16 Disember 2009 sempena Simposium Laluan Haji Rantau Asia.


Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Puisi Visual : Sejarah Lambaian Kaabah

Gambar dihidang bersama aksara,
Untuk dibaca para pelayar,
Sekadar perencah menambah rasa,
Blog maya tak kan terbiar.

Ini perihal lambaian kaabah,
Sewaktu pada zaman dahulu,
Baca saja ilmu ditambah,
sebelum itu akupun tak tahu.

Ini bakul dan Peti Sahara,
tempat menyimpan khazanah ke sana,
Nak tahu fungsinya silalah baca,
pasti bertambah pengetahuan kita.








Ini gambaran laluan ke sana,
Mengabdi diri kepada nan Esa,
Melihat sendiri kebesaran-Nya,
Moga ibadah mabrur hendaknya.





Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Pantun Berkait Memori Memoir Memorial Tunku Abdul Rahman Putra


Teruna gagah turuni lurah,
Bimbit duku ke rumah pendeta;
Tercatat sudah dalam sejarah,
Berjasanya Tunku kepada kita.

Bimbit duku ke rumah pendeta,
Mandiri leka disapa bayu;
Berjasanya Tunku kepada kita,
Maka Merdeka Tanah Melayu.

Mandiri leka disapa bayu,
Hingga sendiri alpa berita;
Maka Merdeka Tanah Melayu,
Hingga kini menjadi nyata.

Hingga sendiri alpa berita,
Hanya usaha sedarkan daku;
Hingga kini menjadi nyata,
Hasil usaha jerihnya Tunku.

Hanya usaha sedarkan daku,
Menegur lalu menyapa lama;
Hasil usaha jerihnya Tunku,
Mekar selalu disebut nama.

Menegur lalu menyapa lama,
Lesap seteru setelah itu;
Mekar selalu disebut nama,
Lestarikah itu usahanya Tunku.

Lesap seteru setelah itu,
Lawan ditumbuk pahlawan jaguh;
Lestarikah itu usahanya Tunku,
Lantaran tunduk merenung jauh.

Lawan ditumbuk pahlawan jaguh,
Masuk gahara perhati seteru;
Lantaran tunduk merenung jauh,
Majukah negara selepas itu.

Masuk gahara perhati seteru,
Riak sera di sanubari;
Majukah negara selepas itu,
Rupanya negara berkereta sendiri.

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud