Sunday, December 20, 2009

Menghirup Kenikmatan Hidup Sementara

Hitam tegar sumpah kesumat,
Inang dirasuk dendaman murup;
Hiruplah segar hidupnya nikmat,
Iman diteguk ketaqwaan dihirup.

Astakona bungkah di litup,
Kotak berlima diikat dawai;
Asyiknya pesona menyantap hidup,
Kongsikan bersama sahabat handai.

Terbang pekaka di pohon redup,
Jatuh ditimpa dahan angsana;
Terlalu leka menghirup hidup,
Jangan dilupa Esa di sana.


Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Sejuk Perut Ibu Mengandung


Kecapi hulu terbang ke hulu,
Kiranya gusar dicemar malang;
Kecilku dulu ditimang ibu,
Kini besar kutempuh gelombang.


Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Saturday, December 19, 2009

Pasti Ada Bicara Rahsia


Paduka memanda asyik menyanyi,
Didengar pula puteri laksana;
Pasti ada rahsia sembunyi,
Disebalik arca melarik makna.

Senduduk diikat di batas sakar ,
Memetik peria dilanda bena;
Sambil melihat arca dilakar,
Mentafsir rahsia sebalik makna.

Jangan dinyira medu rasanya ,
Tapainya sudah diragi seia ;
Jangan dikira berapa jumlahnya,
Tapi kiralah simbolik rahsia.

Friday, December 18, 2009

Aku Bersama Memoir Memorial Itu

Pada tanggal 15 Disember 2009 aku terpilih untuk menyertai satu simposium antarabangsa yang dianjurkan oleh ISSESCO sempena penganugerahan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Islam di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Simposium Laluan Haji Rantau Asia. Aku tak mahu berbicara panjang-panjang tentang apa yang dibincangkan, tetapi satu sahaja yang ingin diberitahu. Aku bangga. Bangga sebagai rakyat Malaysia. Iyalah, sebab negara-negara Islam yang lain begitu kagum dengan pengurusan jemaah haji kita ke tanah suci. Yup, TABUNG HAJI.

Aku sempat berlegar-legar di dalam memorial tersebut. Tak mahu cakap banyak, jom kita tengok gambar-gambar yang sempat aku rakamkan untuk blog ini. Jom!


Ini ialah antara barang-barang dan gambar yang ada dalam memorial ini. Ada banyak lagi sebenarnya artifak dan barang-barang Tunku yang disemadikan di sana. Jadi, jika nak tengok dan melihatnya dengan mata sendiri, datanglah ke Memorial Tunku Abdul Rahman Putra. Tengok lagi gambar ini ya.



Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, 16 Disember 2009 sempena Simposium Laluan Haji Rantau Asia.


Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Puisi Visual : Sejarah Lambaian Kaabah

Gambar dihidang bersama aksara,
Untuk dibaca para pelayar,
Sekadar perencah menambah rasa,
Blog maya tak kan terbiar.

Ini perihal lambaian kaabah,
Sewaktu pada zaman dahulu,
Baca saja ilmu ditambah,
sebelum itu akupun tak tahu.

Ini bakul dan Peti Sahara,
tempat menyimpan khazanah ke sana,
Nak tahu fungsinya silalah baca,
pasti bertambah pengetahuan kita.








Ini gambaran laluan ke sana,
Mengabdi diri kepada nan Esa,
Melihat sendiri kebesaran-Nya,
Moga ibadah mabrur hendaknya.





Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Pantun Berkait Memori Memoir Memorial Tunku Abdul Rahman Putra


Teruna gagah turuni lurah,
Bimbit duku ke rumah pendeta;
Tercatat sudah dalam sejarah,
Berjasanya Tunku kepada kita.

Bimbit duku ke rumah pendeta,
Mandiri leka disapa bayu;
Berjasanya Tunku kepada kita,
Maka Merdeka Tanah Melayu.

Mandiri leka disapa bayu,
Hingga sendiri alpa berita;
Maka Merdeka Tanah Melayu,
Hingga kini menjadi nyata.

Hingga sendiri alpa berita,
Hanya usaha sedarkan daku;
Hingga kini menjadi nyata,
Hasil usaha jerihnya Tunku.

Hanya usaha sedarkan daku,
Menegur lalu menyapa lama;
Hasil usaha jerihnya Tunku,
Mekar selalu disebut nama.

Menegur lalu menyapa lama,
Lesap seteru setelah itu;
Mekar selalu disebut nama,
Lestarikah itu usahanya Tunku.

Lesap seteru setelah itu,
Lawan ditumbuk pahlawan jaguh;
Lestarikah itu usahanya Tunku,
Lantaran tunduk merenung jauh.

Lawan ditumbuk pahlawan jaguh,
Masuk gahara perhati seteru;
Lantaran tunduk merenung jauh,
Majukah negara selepas itu.

Masuk gahara perhati seteru,
Riak sera di sanubari;
Majukah negara selepas itu,
Rupanya negara berkereta sendiri.

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Saturday, November 14, 2009

Sudah Lama Langsatnya Condong, Baru Kini Diampaikan, Sudah Lama Hajat Terkandung, Baru Kini Berkesempatan

Suasa lama sudah ditempa,
Megah terjaga sepuhnya suasa;
Sudah lama tidak bersapa,
Mengarang pujangga khazanah bahasa.


Melangkah Bentara beria-ia,
Menuju bahtera bertemu memanda;
Melarik citera merancak ceria,
Mengimarah sastera warisan ibunda.

Bukan di tuba melata-lata,
Derasnya keruh punca utama;
Bloger hamba sepi berita,
Dek pengaruh facebook menjelma.

Menempah juga bedak angsana ,
Akibat lupa terlalu leka,
Myspace juga rancak diguna,
Alamat alpa blog dibuka.

Inang bersua di tanah rata,
Pengat kepaya turut dibawa;
Ini semua bukti nyata,
Pengaruh maya membalut jiwa.

Sudah punah harta pendawa,
Beradu tenaga panglima satria;
Surat sudah tidak bernyawa,
Blog dan page sahabat setia.


Sudah terletak begitu ceria ,
Anak pejuang sama sebaya;
Sudah meledak seluruh dunia,
Ambil peluang menempah jaya.

Monday, October 12, 2009

Bicara Sepi Tanpa Suara dan Wajah

Sudah lama langsatnya condong,
baru kini diampaian,
sudah lama hasrat terkandung,
baru kini kesampaian.

Jika masa mengikat diri,
maka begini jadinya peri.

Jika diri mengikat masa,
maka terluang berperi sentiasa.

Jika banyak berperi sentiasa,
wujudlah jalan menuju nista.

Wahai pembaca berhati mulia,
terima kasih kutuju setia.

Sekadar pengubat sepi bicara,
daripada hamba jejaka bitara.

Jika ada kelapangan masa,
meh bertandang tinggalkan rasa.

Tinggalkan rasa dengan aksara,
mencoret kata di gerbang maya.

Thursday, August 20, 2009

SALAM RAMADHAN

Ramadhan menggamit lagi,

Berpaut memori pada keluarga tercinta,

Tidak pernah ku alpa,

Tersimpul kasih ,

Erat murba rindu Ramadhan,

Harapan Ramadhan begitu bermakna,

Tinggi menggunung itu gamaknya,

Perginya pasti ketemu jua,

Di tahun hadapan bersua muka.

Tuesday, August 18, 2009

Karya Puisi 8



Apabila cinta dicari,
Pasti ada orang berperi,
Biar bijak apa yang dicari,
Jangan merana diri sendiri.

Karya Puisi 7


Apabila terluang masa,
pastiku guna sedaya ada,
untuk menghibur semua pembaca,
sambil berhibur menghidang rahsia.

Karya Puisi 6



Sekadar menyeri di laman maya,
Khas buatmu pembaca ria,
Kusisip sifir simbolik rasa,
Untukmu saudara yang rajin membaca.

Karya Puisi 5



Jika kabur di pandangan mata,
Ambil kanta tenung dan renung sedaya-upaya,
Pasti bertemu aksara bermakna,
Terselit pada peristiwa jiwa.

Karya Puisi 4



Jika bermakna bacalah ia,
Jika beerti amati sentiasa,
Jika berguna pasti ada hikmahnya.

Tuesday, August 11, 2009

Coretan Biasa Untuk Yang Setia Membaca

Jari-jemari rajin hari ini. Bukan main dia menari menaip aksara www.blogspot.com untuk coretan biasa yang ditujukan khas kepada pembaca setia. "Iya ke ada pembaca setia?.Jarang sekali pelayar maya di gerbang, yang rajin singgah di sini. Anggap saja ramai pembaca setia mengunjungi laman mayaku ini" suaraku kedengaran tanpa bunyi tetapi penuh dengan roh.

Sejak semalam berita tentang Anugerah Sasterawan Negara yang ke-10 telahku ketahui. "Tahniah Dato` Anuwar Rithwan, atas pengenugerahan tersebut" ucapan tak bersuara keluar daripada bibir yang tidak berketap.Aku masih ingat, di lantai 19, Jabatan Penerbitan, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka." Hadiah, panggilkan saya Azimin, saya nak tengok dia punya teks juruacara untuk acara esok", kak Hadiah yang bersuara lantang memekik memanggilku. "Ya Dato`". Hanya aku sahaja yang tahu apa yang berlaku di dalam bilik itu. Bilik Pengarah Penerbitan. Apa-apa yang telah berlaku, sebenarnya satu hikmah yang hebat.Aku tahu betapa telitinya Dato` Anuwar Rithwan dalam menangani sesuatu. Kelembutan yang wujud disertakan dengan ketegasan. Sebab itu dia digelar "Pemberontak Yang Senyap". Tahniah Dato`.

Pada masa yang sama fikiran kumelayang jauh menerpa situasi Dato` Anuwar sedang santap bekalanku yang kubawa ke pejabat. Setiap kali aku memanaskan lauk, pasti kak Hadiah akan datang bertemuku dengan soalan, "Hadiah ini bau apa ni Hadiah". Aku faham dan tak perlu aku wara-warakan di sini. Inilah kenangan manis yang dapatku kongsi bersama-sama Dato` Anuwar.

"Maafkan saya Dato` jika coretan ini tidak menyenangkan Dato`. Tetapi memang nak berkongsi cerita ini di sini".

"Dato` saya bangga dengan kurniaan tersebut, dan insya-Allah suatu hari nanti saya akan menjejaki jejak Dato`. Insya-Allah dengan memperbaharui babak. Doakan saya Dato`".

Karya Puisi 3



Jika sudi bacalah,
Jangan malas sudahlah.

Karya Puisi 2



Sekadar tatapan,
Buat saudara yang mapan,
Ditegur sapa secara sopan,
Agar karyaku menjadi hebat sehebat sasterawan.

Tuesday, August 4, 2009

Karya Puisi 1



Khas Buat Anda Yang Ingin Berumahtangga
Khas Buat Anda Bakal Pengantin

Wednesday, July 29, 2009

Karya Di Gerbang Maya 12



Cukuplah sudah 12 karya,
Tahun 2007 dihasil untuk remaja.

Bukan hanya untuk remaja,
Buat anda juga berguna.

Pasti ada ilmu tersisip,
Mahu dibiar atau dikutip.

SELAMAT MEMBACA

Karya Di Gerbang Maya 11



Ini rahsia jejaka bitara,
Kacak bergaya begitu ceria.

Ini rahsia jejaka bitara,
Kali pertama di depan kamera.

Ini rahsia jejaka bitara,
Boleh tahan juga orangnya ya.

(Huhuhuhu...Hahahaha...Hihihihi...)

Karya Di Gerbang Maya 10



Jika rajin mencari ilmu,
Ramailah taulan bukan seteru.

Jika rajin engkau membaca,
Banyaklah ilmu tidak dicerca.

Jika rajin pasti mendapat,
Apa dicita pasti dapat.

Karya Di Gerbang Maya 9



Antara busana emas sebatu,
Inginkan juga paras nan indah,
Angkara laksana pundak di bahu,
Inilah usaha sebagai ibadah.

Karya Di Gerbang Maya 8



Susur lama denainya sepi,
Angkara dujana belang nan satu;
Sudah lama maya menyepi,
Angkara laksana pundak di bahu.

Friday, July 10, 2009

Karya Di Gerbang Maya 7



Bidara terdampar di tanjung papan,
Keduduk setia dalam neraca;
Biar terpapar buat tatapan,
Kepada yang setia rajin membaca.

Thursday, July 9, 2009

Karya Di Gerbang Maya 6



Jika arca diukir dinda,
Pasti ditempa kanda di sini;
Jika dibaca tenangkan minda,
Pasti terjumpa ilmu di sini.

Karya Di Gerbang Maya 5



Ini kepaya di sana durian,
Molek diguna hidangan tamu;
Ini karya buat kalian,
Moga berguna terselit ilmu.

Tuesday, July 7, 2009

Karya Di Gerbang Maya 4



Bicara seterusnya buat anda pembaca setia. Selamat membaca.

Wednesday, July 1, 2009

Karya Di Gerbang Maya 3


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.

Ini hanya tatapan sahaja,
jika manfaat bacalah ia.

Ini hanya bicara maya,
jika berguna teliti rahsianya.

Ini hanya santai bahannya,
Jika suka rajinlah membacanya.

Wednesday, June 24, 2009

Karya Di Gerbang Maya 2



Sengaja artikel ini disisipkan di sini untuk tatapan kalian. Sudi-sudilah membacanya. Jika ada kederat boleh juga memberi pandangan dan juga kritikan yang membina. Ok selamat membaca.

Sunday, June 21, 2009

Karya Di Gerbang Maya



Karya ini diterbitkan dalam majalah Dewan Siswa bulan Januari 2007. Kepada anda yang tidak sempat membaca, inilah masa dan waktu yang sesuai untuk dibaca. Selamat membaca.

Monday, June 15, 2009

Zaman Kanak-kanak Kita


Teringat pada kenangan lalu, masa zaman kanak-kanak, seawal darjah tiga hinggalah ke zaman mumaiyiz. Aku luahkan pengalaman itu pada bait gurindam di bawah, yang telah diterbitkan dalam majalah Pelita Bahasa.


Alamat Kita Sudah Dewasa


Rang muda belia remaja
Belum faham karenah manusia
Jika Melayu masuk jawinya
Jika India ikut adatnya
Jika Cina ikut resamnya
Mula mengenal apa dikata
Mula berfikir setiap bicara
Demam batuk pecah suara
Tidur malam basah mimpinya
Itulah tanda sudah dewasa

Nak dara muda begitu jua
Pondok-pondok mainan sebaya
Rumput-rampai jadi lauknya
Pasir dan tanah nasi kononnya
Kahwin-kahwin permainan biasa
Bunga dipetik jadi sanggulnya
Bedak dan gincu bersolek muka
Usia mula meningkat remaja
Jerawat mula bertabur di muka
Berkemas memasak kenalah biasa
Datang bulan itulah petanda
Alamat kita sudah dewasa


Terima kasih kepada sesiapa yang telah membaca dan pernah membacanya. Jom kita kongsi cerita zaman kanak-kanak kita. Seronoknya...

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

1 Malaysia

Semua bangsa seia sekata,
Sebahu setia fahami madah;
Semarak rasa mendukung cita,
1 Malaysia laksana wadah.

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Friday, June 12, 2009

Karya Pertama Yang Diterbitkan

Gurindam ini telah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera untuk ruangan Ujana Klasik.

Selamat membaca, jika berkesempatan bolehlah komen.

Gurindam Ukhrawi

Jika diri mengenal Syariat ,
Pasti hayatnya menjadi berkat .


Lantaran hidup di buana Hakikat ,
Ceria sejahtera tidak dilaknat.


Ihsan ikhlas telus Ma'rifat ,
Terpancar kebenaran tidak tersekat .


Akhlak ikatan tuntunan Tasauwur ,
Berkat hidup pasti subur .


Suluh liku jalannya Tarekat ,
Insyaallah tidak tersesat .



Barangsiapa berteman Iqra' ,
Itulah budaya wara' .

Kalau hidup bergelumang Fikrah ,
Cerdik akal itulah fitrah .

Dibuat bekal segala tuntutan ,
Jannatul Ma'wah itulah tentuan .

Gurindam ini adalah
HAK CIPTA TERPELIHARA

HAIKU UNTUK PEMBACA SETIA


April pun datang

Ramai menyanyi ria

Gurindam dialun

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Tuesday, June 9, 2009

HAIKU

Haiku ialah sastera Jepun. Mungkin ia sama seperti sajak, atau mana-mana puisi tradisional Melayu. Secara peribadi, Haiku itu ialah sastera tradisi Jepun seperti bahasa berirama mirip kepada sajak.

Ciri-ciri Haiku :

Satu rangkap ada 3 ayat. Ayat pertama=5 sukukata,ayat kedua=7 sukukata,dan ketiga=5 sukukata. Setiap ayat membawa situasi/suasana tersendiri.Tidak ada sambungan ayatnya.Akhirnya bila dibaca ketiga-tiga ayat,ianya seolah-olah mempunyai kesatuan maksud yang indah seperti komposisi fotografi/lukisan.

Contoh Haiku :

Contoh ini diambil dari laman maya eSastera.com yang dikaryakan oleh dipinggiran yang disampaikan dalam bentuk visual yang menarik.

April dinanti
pulang dari seberang
makan bersuap

Ok jom kita berhaiku.

Gurindam Terima Kasih

Salam mesra mula bicara,
Teman baharu menjenguk muka.

Dunia sastera di bumbung sama,
Serumpun suara menyubur kata.

Sang pembaca tersenyum ceria,
Daku terpikat amat bahagia.

Terima kasih daun keladi,
Pasti kukunjung setiap hari.

Salam pertama telah bermula,
Esok dan lusa begitu seterusnya.

Buat taulan sahabat semua,
Salam sastera daripada hamba.

Sekadar coretan biasa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Jam di dinding tepat jam 5 petang. Hari ini 23 Ogos 2007 bersamaan hari Rabu sebelum Khamis dan Jumaat. Sedang leka aku mengemas kertas-kertas selepas berbengkel tadi, aku terbaca bait-bait kata pujangga yang ditinggalkan oleh dakwat printer pada kertas bersaiz A4 yang bakal aku buang. Terasa sayang pulak untuk dibuang. Tetapi kalau tidak dibuang meja aku akan bersepah dengan kertas. Jadi aku ambil keputusan untuk memindahkannya dalam bentuk aksara maya di gerbang ini.

Mungkin apa yang diperturun berguna buat saya, dan anda yang sedang membaca. Elok juga kita " Berfikir sejenak, merenung masa lalu adalah permulaan yang baik untuk bertindak ". Anggaplah diri kita ini sebagai insan baharu, kerana " Kita bermula sebagai seorang yang baru". " Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi hari esok". Tetapi pada waktu yang sama " Yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang". "Jati diri seseorang itu kadangkala tidak terletak pada pujian semata-mata, kadangkala kejian juga". " Banyak perkara yang kita ingini, tidak semua yang akan kita dapat".

Pilihlah jalan hidup yang betul dan aturkanlah ia dengan sesempurna yang boleh, kerana " Sesuatu yang benar itu apabila dikehendaki batil, maka batillah jadinya", bak kata orang " Andai air usaha itu bisa kita teguk, teguklah sehingga ia kering dan basahan tawakal bakal mendingin di ruang tekak". Tapi, sayang seribu kali sayang,"kadang-kadang sesuatu yang berharga itu kita sedari setelah ia meninggalkan kita, dan kala itu kita hanya pasrah". " Andai kau pernah menghirup madu, melihat damai dan merasa senang, ingatlah suatu masa nanti mungkin semua itu akan sirna"; dan ingatlah " Untuk mencicip kemanisan, perlu bermula dengan mengupas kepahitan". Apa jua yang kita lakukan, perkara ini amat penting. " Tiada yang paling bernilai pada sesebuah kejayaan itu selain sebuku usaha". " Kalau dulu tidak pernah terdetik di hati akan suatu rasa itu, tentu kini kita tidak berusaha mencapainya". Jadi " Berbuat baik jangan sekali, buatlah berkali-kali". Wahai sang pembaca, " Kasihkan manusia, lepaskan dia kepada pilihan dan keputusannya kerana di situ tanda kita gembira melihat insan yang kita sayangi beroleh bahagia. Jam dah pukul 5.15 petang. Sekejap sahaja masa berlalu. Inilah kata-kata tanpa bunyi yang boleh aku hadiahkan buat pembaca. " Seorang yang tidak bersifat penyayang, tak akan dapat menghasilkan karya yang terbaik."

Hadiah Buatmu Pembaca Setia

Antara Cinta, Kasih dan Sayang

Mungkin Tuhan sengaja mahukan kita bertemu dengan insan yang salah
Sebelum menemui insan yang betul
Walaupun akhirnya kita menemuinya
Agar kita tahu untuk bersyukur dengan nikmat pemberiannya
Ada hikmat disebalik pemberian-Nya
Pabila pintu kebahagiaan tertutup
Biasanya pintu yang tertutup itulah direnung lama
Hinggakan tiada terlihat pintu lain yang dibukakan buat kita

Sahabat yang paling baik adalah sahabat yang boleh duduk bersama di dalam buaian
Berbuai bersama tanpa sebarang kata
Dan kemudiannya berjalan pulang dengan satu perasaan itulah perbualan yang paling hebat
Benar kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai
Sehinggalah kita kehilangannya
Kita tidak tahu apa yang kita rindu
Sehinggalah ia datang
Jangan harapkan cinta sebagai balasan
Tapi nantikan ia untuk mekar
Pastikan ia terus mekar dalam syurga hati kita

Cinta, Kasih dan Sayang
Cuma seminit untuk jatuh hati
Sekadar sejam menyukainya
Sehari untuk menyintainya
Tapi sepanjang hayat untuk melupakannya
Kejarlah insan yang bisa mengukir senyuman di wajah kita
walau cuma sekuntum senyuman untuk mencerahkan hati nan suram
kejarlah dan carilah
Akan tiba waktunya
sehingga kita ingin menggapainya dari mimpi
dan memeluknya dengan sebenar
Hanya mereka yang bijak menghargai mutiara ini
Mampu menyentuh kebahagiaan

Cinta, Kasih dan sayang
Bermula dengan senyuman
Mekar dengan ciuman
Dan mungkin berakhir dengan tangisan
Hati ini akan sunyi
Sunyi dendangan suara lagu
Suara rengekan
Suara manja dari seorang insan
Insan yang ku letakkan antara cinta, kasih dan sayang

Dunia Maya Medan Positif dan Negatif Meluah Rasa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Sultan Selama rancak berperi,
Tuturnya molek indah selalu;
Sudah lama menyepi diri,
Tugas dikelek sibuk selalu .

Asam paya letak di kawah,
Kalau dijeruk jadi hidangan;
Alam maya rasa diluah,
Kalau sudi beri pandangan.