Tuesday, May 31, 2011

Puisi Visual : Pabila Awan Menangis







Pabila kepanasan yang dirintih, si DIA Yang Maha Pengasih mendengar ritihan itu, lalu dicurahkan air dari atas sana agar insan yang merintih tidak lagi perit kepanasan tetapi dingin dengan hawa segar pada waktu pagi yang indah nian.








Bumi yang basah lega dan pastinya akan menghasilkan tanah yang subur agar semua tumbuhan hidup untuk bertasbih kepada Allah. Indahnya suasana damai bening pagi di desa tercinta.

Setiap kata ditimbangtara, pasti ada makna bermakna yang tersurat dan tersirat.

Foto : `Azimin Daud

Karya ; `Azimin Daud


Puisi Visual : Nelayan dan Rezeki










Sekali rezeki diraih, pelbagai cabaran datang menyapa. Rezeki dan juga petaka. Nasib untung rezeki murah diraih. Melintang aral bencana dan petaka menunggu nelayan. Lumrah alam setiap rezeki, kemudahan, kejayaan pasti ulamnya cabaran dan dugaan.

Foto : `Azimin Daud

Karya ; `Azimin Daud

Puisi Visual : Ombak






Ombak dan pantai saling perlu memerlukan. Ombak sering berkomunikasi dengan pantai. Jika ombak marah, pantai selalu mendengar. Pantai sentiasa rela berkomunikasi dengan ombak. Sebab itu mereka sentiasa bersama-sama.

Foto : `Azimin Daud

Karya ; `Azimin Daud

Monday, May 30, 2011

Puisi Visual : Waktu Senja di Sini






Waktu senja di kampung cukup damai
tetapi damainya tidak seperti dulu
hanya aku tahu perbezaannya
damai yang dulu
dan damainya sekarang

D.A.M.A.I

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Sunday, May 29, 2011

Puisi Visual : Berbezakah Kita?


Adakah kita berbeza?
Tetapi kenapa kita tidak sama?
Tidak bolehkah kita sama dengan si dia?
Kenapa kita masih ingin dibezakan?
Adakah kita suka dibezakan?
Jadi berbezakah kita?


Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Wednesday, May 25, 2011

Apabila Si Dia Bertakhta di Hati

Atiq Rayyanah `Azimin
Tiga perkataan ini disusun rapi demi memberi makna dan aura positif ke dalam jiwa rodnya yang halus ciptaan dari-Nya
Yang Mulia Pintu Syurga Bagi Orang Yang Berpuasa Yang Agung
Lengkap dan sempurna sebagai satu ayat
Ada subjek dan predikatnya
Apabila si dia bertakhta di hati
Ya Allah bersyukur aku kepada-Mu


Bismillahirrahmanirrahim
Wahai roh Atiq Rayyanah `Azimin
jadilah engkau roh yang mentaati Allah
menyayangi abah dan juga ibu
serta berbakti kepada masyarakat

Dari telapak kakimu sebesar ibu jari abah
yang abah sambut dari rahim
abah qamatkan sebagai ucap selamat datang
Abg basuh urimu dengan air mutlak agar bersih dan suci
Detik demi detik abah dan ibu melihat telapak kaki itu mula membesar

Waktu abah sambut Atiq Rayyanah `Azimin dengan iqamat
matamu jelas merenung abah
Renungan matamu menyebabkan hati abah sayu
lalu tertitis mutiara jernih dari kolam mata yang begitu bening

Tanpa rasa malu
abah biarkan saya mutiara itu gugur dan jatuh dari kolam mata
Matamu masih setia menatap wajah abah
Syukur ya Allah
Terima kasih Atiq Rayyanah `Azimin kerana sudi menyambut ucap selamat abah dengan renungan matamu yang cukup indah

Cinta, kasih dan juga sayang
Benar kata orang
semuanya itu perlu dicari dan perlu diberi
Alhamdulillah Allah. Terima kasih Atiq Rayyanah `Azimin kerana sudi duduk bertahkta di hati abah

Hidup abah amat bahagia
Dulu sunyi
sekarang tidak
Dulu sepi
sekarang tidak
Dulu diam
sekarang tidak
Dulu senyap
sekarang tidak

Atiq Rayyanah `Azimin, jadilah anak yang berguna pada diri sendiri
Apabila berjaya pada diri sendiri
jangan lupa juga mesti berjaya dalam keluarga
Bermula sedari keluarga bawalah kejayaan itu kepada masyarakat
nusa dan juga bangsa
Jangan dilupa AGAMA

Telapak kaki yang dulunya sebesar ibu jari abah
sekarang sudah sebesar tapak tangan abah
Sudah semakin besar anak abah

Anak abah sekarang sudah pandai menyebut A,B,C
Anak abah sudah pandai membilang 1,2,3
Anak abah sudah pandai membunyi alif, ba, ta
Anak abah begitu lantang menyanyikan lagi burung kakak tua
enjit-enjit semut
dan rasa sayang eh!

Begitu gembira abah
Atiq Rayyanah `Azimin
Terima kasih kerana memberi abah cinta, kasih dan juga sayang
Abah sayang Atiq.

Foto : `Azimin Daud
Karya ; `Azimin Daud

Sesumpah dan Lipas

Sesumpah atau Calotes cristatellus atau dalam bahasa Inggeris di panggil green crested lizard. Apakah ciri-ciri sesumpah yang boleh kita ambil iktibar dan boleh ambil ciri-ciri tersebut untuk kebaikan. Sesumpah tak pernah buang anak seperti mereka yang dajal dan dangkal akal fikirannya.






Lipas atau istilah sainsnya Periplaneta orientalis sering ditakuti oleh segolongan lelaki terutama golongan wanita. Tahukah anda lipas mempunyai gelaran? Kepuyuk juga beerti lipas.Di dalam laci rumah saya terdapat pelbagai jenis cawan dan gelas disimpan (hadiah perkahwinan yang dahpun berumur 10 tahun) tak pernah digunakan. Hanya disimpan. Tak sangka cawan dan gelas itu jadi rumah mewah lipas. Cawan mungkin rumah banglo untuk lipas. Gelas mungkin kondo mewah untuk si lipas. Saya kagum melihat lipas. Dalam satu gelas ada dua ekor lipas yg besar dan 4 ekor lipas yang kecil-kecil duduk damai dalam satu gelas. Tiada istilah buang bayi dalam hidup mereka.





Manusia pula bagaimana ya? Bertamadun dan berperikemanusiaan? Betul ke? Bunuh membunuh, fitnah memfitnah, anak tikam ibu, suami bunuh isteri, ragut dan banyak lagi. Sesumpah dan lipas tetap aman hidup mereka.

Foto : `Azimin Daud

Karya ; `Azimin Daud